JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit apabila terpedaya ajakan seorang wanita dikenali sebagai ‘Luna’ untuk melabur dalam bidang produk kecantikan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa mengenali suspek setelah menerima mesej melalui aplikasi Instagram pada 9 Disember lalu.
“Mangsa tertarik dengan pelaburan itu berkenaan sebelum menghubungi wanita tersebut dan diberikan penerangan bahawa skim khidmat menawarkan keuntungan 10 peratus daripada modal dikeluarkan.
“Mangsa kemudian membuat 41 transaksi kepada 19 akaun berbeza antara 19 Disember lepas hingga Jumaat lalu melibatkan nilai berjumlah RM553,095,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Balveer Singh, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila dia diminta membuat pembayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan yang didakwa telah diperoleh.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita juga akan menyiasat pembabitan keldai akaun, jika ada tindakan diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
“Sementara itu, orang ramai diminta untuk lebih berhati-hati dengan tren semasa yang digunakan sindiket scammer untuk menipu wang mangsa. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan,” jelasnya. – UTUSAN