BACHOK: Seorang anak penoreh getah dari Kampung Sungai Pas, Kuala Krai, dekat sini tidak menduga menerima sebuah motosikal Kriss Modenas dalam acara cabutan bertuah selepas lulus ujian memandu di Akademi Amkist, di sini, semalam.
Nurhanan Aminuddin, 19, yang juga pelajar Diploma Sains Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, memanfaatkan cuti semester menduduki ujian berkomputer, mengikuti latihan memandu dan ujian di litar Amkist.
“Sepanjang menduduki ujian memandu, saya tinggal sementara di rumah nenek di Kampung Kandis di sini memandangkan jarak antara Kuala Krai dengan Amkist terlalu jauh.
“Sebagai pelajar daripada keluarga asnaf, saya mendapat potongan harga mendaftar dan bayaran pembiayaan belajar memandu di akademi ini. Di luar kemampuan keluarganya untuk membeli sebuah motosikal berharga lebih RM4,000.
“Motosikal ini akan dibawa ke kampus untuk memudahkan berulang-alik ke dewan kuliah,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima motosikal Kriss Modenas dalam Program Cabutan Bertuah di Amkist.
Sementara itu, Pengarah Urusan Amkist, Datin Noor Haslina Abdullah berkata, pihaknya sentiasa membuat potongan harga kepada pelajar asnaf yang ingin menduduki ujian memandu.
Potongan harga istimewa adalah sebahagian program amal korporat bermula dengan ujian berkomputer sehingga pelajar berkenaan memiliki lesen menunggang motosikal dan memandu kereta. – UTUSAN