PORT DICKSON: Sebuah Loji Rawatan Air (LRA) berkapasiti 65 juta liter sehari bakal dibina di Negeri Sembilan membabitkan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan dan syarikat Gamuda Berhad.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan LRA tersebut dijangka akan menjamin kestabilan bekalan air untuk pengoperasian pusat data di Port Dickson dan untuk kegunaan domestik penduduk di negeri ini.
“Langkah ini bukan sekadar menambah bekalan air, tetapi merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan jaminan bekalan air bersih di Port Dickson dan kawasan sekitarnya dan mengurangkan kadar gangguan bekalan air di kawasan ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi MBI Negeri Sembilan berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek HUB Infrastructure Pusat Data Port Dickson dan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama antara MBI dan Gamuda Berhad di Bandar Springhill, di sini, hari ini
Aminuddin sementara itu berkata, keputusan syarikat terkemuka seperti Gamuda untuk membina pusat data tersebut merupakan pengiktirafan terhadap potensi dan daya saing Negeri Sembilan dalam sektor digital.
“Majlis pecah tanah ini bukan sekadar melambangkan pembangunan baharu tetapi ia menandakan permulaan Negeri Sembilan dalam ruang infrastruktur digital, memposisikan negeri ini untuk pertumbuhan berterusan dalam dekad-dekad yang mendatang,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri juga komited dalam mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur seterusnya memastikan negeri ini menjadi lebih maju. – UTUSAN