KOTA TINGGI: Penduduk mendakwa banjir yang melanda Taman Mawai dan Taman Aman, di sini disebabkan longkang tersumbat akibat projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di hadapan taman tersebut.
Md. Azlan Mustapar, 48, mendakwa, kawasan taman itu sepatutnya belum lagi dilanda banjir pada Jumaat lalu kerana air Sungai Pemandi belum melimpah.
Namun, banjir berlaku akibat limpahan air ke kawasan taman perumahan itu akibat aliran longkang yang tersumbat.
“Kalau ikutkan air tak naik lagi, banjir kerana longkang tersumbat. Hujan memang tidak berhenti sejak Jumaat tapi biasanya belum sampai masa lagi berlaku banjir.
“Kami tahu tanda-tanda bila banjir berlaku kerana sudah lebih 20 tahun tinggal di sini. Semua penduduk terkejut kerana air naik cepat dalam tempoh setengah jam sahaja.
“Arus deras dari kebun datang ke kawasan sini, jadi memang ramai rakan niaga tidak sempat naikkan barang,” katanya ketika ditemui di Taman Mawai, di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Siti Rosnani Mohd. Khalid, 51, juga berharap projek tebatan banjir di Sungai Johor dan Sungai Pemandi dapat disiapkan lebih cepat agar penduduk tidak perlu berdepan masalah banjir lagi.
“Biasanya rumah kami air naik sampai paras dada. Tiap tahun hadap, memang tidak larat dan separuh daripada umur saya berdepan dengan banjir,” katanya sambil memberitahu mula membuat persiapan menghadapi banjir seawal Oktober tahun lalu. – UTUSAN