Data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menunjukkan sebanyak 2,776 kes bankrap akibat pinjaman peribadi berlaku sepanjang tahun lalu, iaitu meningkat berbanding 2,225 kes sama pada 2023 dengan kebanyakan golongan muda yang terbabit berusia antara 25 hingga 44 tahun.
Golongan muda dikatakan terlalu mudah tertarik dengan gaya hidup mewah dan kegagalan mengurus kewangan dengan baik menyebabkan mereka terjerumus dalam hutang pinjaman yang tidak dibayar hingga akhirnya menyebabkan diisytihar muflis.
Pinjaman peribadi menjadi punca utama kes kebankrapan khasnya membabitkan golongan muda di negara ini dengan 49.11 peratus atau 15,413 kes direkodkan sehingga tahun lalu.
Senario membabitkan status muflis dalam kalangan golongan muda seperti ini cukup membimbangkan lantas memerlukan langkah pencegahan yang sewajarnya agar anak muda kita tidak terus hanyut dengan kelekaan dan nafsu ingin hidup mewah.
Antara punca utama yang dikenal pasti menyumbang kepada gejala orang muda muflis adalah kelemahan pengurusan kewangan peribadi terutamanya apabila baru melangkah masuk ke alam pekerjaan serta mula menerima gaji atau menjana pendapatan sendiri.
Justeru sudah tiba masanya kita melaksanakan inisiatif untuk menyedarkan golongan muda melalui pendidikan literasi kewangan peribadi secara lebih berstruktur atau formal, yakni mendidik mereka bagaimana menguruskan perbelanjaan hasil daripada pendapatan yang diterima setiap bulan.
Untuk rekod, kajian Bank Negara Malaysia sebelum ini menunjukkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat masih rendah, merangkumi aspek pengetahuan dalam isu-isu kewangan, serta perilaku dan sikap berkenaan pengurusan kewangan.
Maka dalam konteks ini kita melihat sekolah boleh menjadi platform terbaik untuk memupuk dan meningkatkan pengetahuan tentang literasi kewangan sebelum mereka melangkah masuk ke cabaran dunia sebenar selepas sesi persekolahan formal tamat.
Secara umumnya, literasi kewangan dapat membantu setiap individu menguruskan perbelanjaan harian mereka dengan lebih berkesan.
Melalui kemahiran ini, seseorang dapat belajar cara untuk menyediakan belanjawan, mengurus perbelanjaan mengikut keutamaan dan mengelakkan perbelanjaan impulsif yang boleh menjejaskan kewangan mereka.
Noor Mohamad Shakil Hameed Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor.