PETALING JAYA: Kerajaan wajar memperkenalkan undang-undang baharu bagi melindungi golongan pekerja daripada kehilangan pekerjaan disebabkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin meluas khususnya di masa depan.
Undang-undang baharu berkaitan keselamatan pekerjaan itu perlu diwujudkan supaya dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan ekonomi yang disebabkan persaingan antara manusia dan teknologi.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Pengkomputeran Kolej Pengajian, Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Shuzlina Abdul Rahman berkata, walaupun teknologi AI memberikan manfaat besar dari segi peningkatan produktiviti dan inovasi.
Namun, katanya, ia turut membawa risiko ketidakseimbangan dalam pasaran pekerjaan, terutamanya bagi sektor-sektor yang terdedah kepada automasi.
“Saya berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk memperkenalkan undang-undang berkaitan keselamatan pekerjaan bagi melindungi pekerja daripada kehilangan pekerjaan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu menggubal dasar AI yang kukuh untuk memastikan penggunaan teknologi ini berjalan secara terkawal dan bertanggungjawab.
“Dasar tersebut harus merangkumi aspek perlindungan pekerjaan, garis panduan etika dalam pembangunan dan penggunaan AI, serta sokongan kepada industri untuk mengintegrasikan AI tanpa menjejaskan kesejahteraan tenaga kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 600,000 pekerja di negara ini bakal hilang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang jika tidak menguasai teknologi AI.
Berdasarkan kajian TalentCorp pekerja dalam sektor IT, komunikasi, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perniagaan borong dan runcit, perniagaan perkhidmatan global, kewangan, perkhidmatan pelanggan dan logistik dijangka terkesan.
Menurut Shuzlina, melalui dasar yang jelas dan komprehensif, kerajaan dapat memastikan manfaat teknologi AI dinikmati secara adil dan tidak meminggirkan mana-mana golongan dalam masyarakat.
Oleh demikian, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil lima pendekatan iaitu memperkenalkan polisi penggunaan AI secara berimbang; mengaudit penggunaan AI dan pemberian insentif kepada sektor berintensifkan manusia.
“Selain itu, kerajaan boleh menyediakan dana perlindungan AI dan menyediakan latihan serta subsidi latihan kepada syarikat yang proaktif dalam usaha memperkasakan teknologi tersebut,” katanya.- UTUSAN