NIBONG TEBAL: Lima sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah pada Disember lalu.
Tertuduh, M. Premanantha, 25; Mohammad Ghani Shak Ali, 26; M. Moganrajah, 29; M. Kogilan, 30; dan G. Sandresan, 30; bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa telah melakukan pecah rumah ke atas sebuah kediaman dan mencuri dua buah komputer riba serta sebuah tablet milik seorang lelaki berusia 31 tahun.
Kesalahan itu dilakukan secara bersama di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal kira-kira pukul 9.27 malam pada 21 Disember 2024.
Sehubungan itu, kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda.
Jika kesalahan tersebut ialah mencuri pula, maka, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali kedua atau kemudian, boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norafifah Mohd Shokri yang kemudiannya menawarkan jaminan RM9,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kelima-lima tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan paling minimum berdasarkan kekangan kewangan selain perlu menyara ahli keluarga masing-masing.
Nurul Ainna seterusnya membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Januari ini untuk sebutan kes. – UTUSAN