BALIK PULAU : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggariskan lima sasaran utama yang diyakini dapat meningkatkan keberkesanan agenda Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mata rakyat.
Katanya, antara sasaran itu termasuk melonjakkan potensi usahawan desa ke peringkat global, meningkatkan penyertaan anak Orang Asli dalam institusi pengajian tinggi (IPT) serta memperluaskan program pendidikan Islam melalui kesinambungan Program Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Kalau tahun lalu, seramai 446 anak Orang Asli berjaya memasuki universiti. Maka, tahun ini, saya mahu melihat sekurang-kurangnya 500 orang lagi berjaya ke universiti dan mengikuti program TVET@KKDW.
“Saya juga amat bersyukur kerana Program Pra-Tahfiz Kemas telah mendapat sambutan yang amat baik. Tetapi, kita tidak boleh berhenti di sini kerana saya mahu kita memperluaskan usaha dengan mewujudkan program kesinambungan Pra-Tahfiz pasca Tabika agar anak-anak ini dapat meneruskan hafazan al-Quran walaupun telah memasuki sekolah rendah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Makan Malam Pemukiman KKDW 2025 di Teluk Bahang di sini, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, selain itu, beliau juga mahu agensi di bawah KKDW seperti FELCRA memperkasakan lagi usaha untuk melibatkan kepelbagaian produk pertanian terpilih seperti cili dan sayur-sayuran strategik.
“Kita mahu sektor pertanian desa berkembang menjadi tulang belakang kepada agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Tambah beliau, satu usaha juga perlu dirangka secara bersepadu untuk menyelaras kekuatan pelbagai kementerian yang berkongsi agenda untuk membangunkan masyarakat desa.
“Dengan gabungan tenaga dan sumber, kita dapat menembusi lebih banyak kawasan serta memberikan bantuan yang lebih menyeluruh dan berkesan khususnya kepada masyarakat desa,” katanya.-UTUSAN