Lima kes keracunan makan ikan buntal dilaporkan di Sabah

Lima kes keracunan makan ikan buntal dilaporkan di Sabah

MARIA SULEIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Lima kes keracunan akibat memakan ikan buntal dilaporkan di Sabah dalam tempoh 10 Januari sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Maria Suleiman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum kes tular dalam sosial media berhubung kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal.

Beliau berkata, setakat ini lima kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal dilaporkan berlaku di negeri ini dengan satu kes di daerah Kota Kinabalu pada 10 Januari dan empat kes melibatkan sebuah keluarga di daerah Kota Marudu pada 24 Januari 2025. 

Katanya, semua pesakit berusia antara 15 hingga 48 tahun yang menunjukkan gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas, selepas memakan ikan buntal yang dibeli daripada pasar setempat dan dimasak sendiri. 

“Kesemua kes telah mendapatkan rawatan awal di hospital. Daripada lima kes yang dilaporkan, tiga kes telah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan, manakala dua kes masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

“Justeru, tindakan kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh JKNS, termasuk pendidikan kesihatan kepada individu-individu terlibat dan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, ikan buntal atau pufferfish merupakan spesies ikan yang mengandungi toksin saraf (neurotoksin) yang dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX) dan toksin ini turut terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas dan siput laut serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun. 

Jelas beliau, pencemaran TTX dalam makanan tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana tiada perubahan warna, bau, dan bentuk terhadap makanan yang tercemar. Individu yang memakan makanan yang mengandungi TTX boleh mengalami gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit. Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam. 

Justeru, JKNS menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pengambilan makanan yang disyaki mengandungi TTX kerana ia boleh membahayakan kesihatan. Jika mengalami gejala awal keracunan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya