KEMAMAN : Gara-gara berlaku perselisihan faham dan melibas anak saudaranya menggunakan mesin rumput, seorang pekerja kontrak pembersihan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Hanafi Ngah, 43, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan di bahagian dahi pengadu yang berusia 23 tahun dengan melibas wanita itu menggunakan enjin rumput.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kampung Teluk Kalong pada 22 Disember lalu, kira-kira pukul 4 petang. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. – UTUSAN