KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) akan meletak calon di kawasan-kawasan berpotensi menang bagi membolehkan mereka mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau tidak mahu meletakkan calon di semua kawasan semata-mata untuk meletak calon tetapi tidak boleh menang di kawasan tersebut.
“Sudah tentu dari segi pendekatan kita, ia mesti kawasan yang boleh menang. Kita tidak boleh letak calon yang kita tidak boleh menang.
“Semata-mata nak letak calon, kita tak boleh menang. Kita tak mahu bazirkan masa dan usaha kita kerana hasrat kita adalah untuk mengambil alih kerajaan,” katanya semasa sesi tinjauan mesra sempena Tahun Baharu Cina di Tamu Jalan Gaya, hari ini.
Mohd. Shafie berkata, beliau bukan sekadar ingin memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi tetapi juga perlu melihat kesetiaan calon dalam menjadi seorang pemimpin yang boleh membantu membangunkan Sabah.
“Kalau terlampau banyak calon sana sini nanti, dia mahu projek, mahu jawatan, kalau tidak diberikan, dia lompat sana sini. Itu yang menyukarkan kita,” katanya.
Ahli Parlimen Semporna berkata, itu sebabnya apabila diadakan pilihan raya, mereka harus memilih pemimpin yang boleh membantu Warisan dalam meletakkan Sabah kembali ke landasan yang sepatutnya.
Katanya, Warisan telah menetapkan hala tuju dan program yang akan dilaksanakan apabila kembali menjadi kerajaan.
Jelas beliau, Warisan juga bersedia untuk meletakkan calon di kawasan pengundi Cina yang dilihat memberi sokongan yang baik terhadap hala tuju dan aspirasi parti itu. – UTUSAN