SEREMBAN: Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembuatan produk getah dan plastik didenda sebanyak RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini semalam atas tiga kesalahan melepaskan efluen perindustrian pada tahun lalu.
Menerusi kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas orang kena saman (OKS) iaitu wakil syarikat membuat pengakuan bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan.
Menurut kenyataan itu, pada 23 Mei 2024 sekitar pukul 10 pagi, sepasukan pegawai dari JAS Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan penguatkuasaan ke premis kilang tersebut yang terletak di Batu 5 1/2 Jalan Jelebu, Mukim Pantai di sini.
Semasa siasatan terdapat pelepasan efluen perindustrian di dalam kawasan premis selepas kolam takungan milik syarikat itu.
“Empat contoh rasmi efluen perindustrian diambil di dalam kawasan premis dan dihantar untuk dianalisis.
“Keputusan analisis kimia mendapati beberapa kandungan seperti besi, plumbum dan raksa telah melebihi had kepekatan ditetapkan iaitu melebihi Piawai A seperti mana yang ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(a) dan Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” katanya.
Berikutan itu syarikat terbabit telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan didenda sebanyak RM50,000.
Syarikat sama turut didenda sebanyak RM50,000 masing-masing untuk dua kesalahan lain iaitu efluen perindustrian dilepaskan ke longkang awam luar premis.
JAS memberitahu, empat contoh rasmi efluen perindustrian diambil sebelum masuk ke longkang awam luar premis dan dihantar untuk dianalisis.
“Keputusan analisis mendapati ia mengandungi antaranya pepejal terampai, tembaga, besi dan plumbum iaitu melebihi had kepekatan ditetapkan iaitu melebihi had Piawai A sepertimana yang ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(a) dan Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009
“Satu botol sampel buangan terjadual iaitu sisa buangan daripada minyak hitam terpakai telah bercampur dengan tanah akibat pertumpahan ke atas tanah juga telah diambil dari stor penyimpanan minyak hitam terpakai untuk dianalisis
dan keputusan menunjukkan sampel mengandungi parameter besi, titanium, silika dan minyak mineral,” menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, pihak kilang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 24(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JAS Negeri Sembilan, Muhammad Fitri Soroni.-UTUSAN