KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Astillah tampil melakar momen kejayaannya selepas berjaya menawan Gunung Kinabalu sambil memakai pakaian tradisional Melayu berona sedondon bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, hari ini.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Bella turut meluahkan rasa terharu dan menyifatkan pendakiannya itu adalah satu pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya.
“Alhamdulillah kami berjaya, pakai baju raya mendaki Gunung Kinabalu.
“Mula mendaki pada pukul 3 pagi. Pendakian yang penuh bermakna!
“Penat dia memang saya tak boleh nak ungkap dengan kata-kata tetapi apabila tengok pemandangan masya-Allah, memang tidak ternilai, cantik betul Kinabalu,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu itu juga memuat naik beberapa foto dan potongan video sewaktu melakukan aktiviti pendakian bersama Ahli Parlimen tersebut selain turut ditemani oleh adiknya, Didi Astillah.
Dilihat sepadan bersama, ruangan komen perkongsian tersebut juga dihujani usikan peminat yang memberi ‘lampu hijau’ untuk mereka menjalinkan hubungan cinta.
“Ini bukan teaser perkahwinan kan?,” komen seorang pengikutnya.
“Bolehlah tangkap gambar pra-perkahwinan terus. Baju pun dah kena,” kata seorang lagi netizen.
“Gunung Kinabalu sudah ditawan, kini masa untuk bernikah,” usik seorang lagi peminatnya. – UTUSAN