KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat memaklumkan pada usianya yang menginjak 52 tahun, perkahwinan bukan lagi keutamaan bagi beliau.
Kata juri Gegar Vaganza musim ke-11 itu, beliau menyerahkan soal tersebut kepada ketentuan Tuhan.
“Allahyarham Datuk Sharifah Aini pernah menasihatkan saya, sama ada kahwini lelaki barat atau tak payah kahwin langsung.
“Tapi tidaklah saya pegang kata-katanya itu. Jodoh di tangan Tuhan, kalau ada, adalah. Kalau tak ada, tak adalah.
“Untuk saya, perkahwinan ini, buat masa ini bukan keutamaan. Tapi kalau ada (calon) yang sesuai, saya tidaklah menolak,” kongsinya.
Syafinaz berkata demikian dalam sidang media usai konsert minggu ke-8 GV11 semalam.
Disoal tentang calon suami, Syafinaz menetapkan yang menyenangkan sebagai kriteria utama.
“Pilihan saya adalah sedap mata memandang, tidak membawa masalah, tidak menghadkan kemampuan saya dan faham dengan diri saya.
“Tapi yang paling penting menyenangkan satu sama lain,” jelasnya.
Berkongsi mengenai awet muda, penyanyi popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini berkata minda positif mungkin menjadi sebab beliau kelihatan muda di usia 52 tahun.
“Kita manusia, tak mungkin sentiasa remaja. Tapi kalau mahu kelihatan muda, kena jaga diri dan kesihatan mental.
“Hidup perlu sentiasa positif, beri input dan semangat kepada orang lain.
“Kalau nak nampak muda, kenalah berjiwa dan berfikiran muda. Kurangkan runsing kerana masalah dan sentiasa gembirakan hati,” katanya.