MELAKA: Seorang lelaki warga emas berstatus suami orang antara dicekup berkhalwat dengan pasangan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Bandaraya Melaka di sini, semalam.
Lelaki berusia 60 tahun itu bersama seorang wanita warga Thailand berusia 42 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, lelaki itu ditahan kerana berdua-duaan dengan pasangannya seorang perempuan bukan beragama Islam.
“Lelaki tersebut seorang peniaga dan telah berkahwin sementara pasangannya bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urut di sini. Hasil soal siasat mereka mengaku keluar berdua menyambut tahun baharu dan menonton pertunjukan bunga api.
“Selepas itu mereka menginap bersama di sebuah hotel kerana penat dan telah lewat malam untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Tambah Rahmad, operasi sempena sambutan tahun baharu itu membabitkan 42 pegawai penguat kuasa agama dan sebanyak 17 premis di sekitar Bandaraya Melaka dan Alor Gajah telah diperiksa.
Menurutnya, JAIM menahan 13 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita berusia antara 21 dan 60 tahun untuk siasatan lanjut sementara seorang orang yang disyaki (OYDS) wanita dijadikan saksi kes kerana bukan beragama Islam.
“Orang ramai dinasihatkan menjauhi kesalahan syariah dan kemungkaran yang boleh membawa kerosakan ebih besar kepada masyarakat,” katanya.-UTUSAN