Lelaki warga emas, wanita Thailand dicekup berkhalwat

Lelaki warga emas, wanita Thailand dicekup berkhalwat

ANTARA pasangan yang ditangkap berkhalwat oleh penguat kuasa JAIM dalam satu operasi di sebuah hotel bajet di sekitar Bandaraya Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga emas berstatus suami orang antara yang dicekup berkhalwat dengan pasangan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Bandaraya Melaka di sini, hari ini.

Lelaki berusia 60 tahun itu bersama seorang wanita warga Thailand berusia 42 tahun ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, lelaki itu ditahan kerana berdua-duaan dengan pasangannya seorang perempuan yang bukan beragama Islam.

“Lelaki tersebut seorang peniaga dan telah berkahwin sementara pasangannya bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urut di Bandaraya Melaka. Hasil soal siasat mereka mengaku keluar berdua untuk menyambut tahun baharu dan menonton pertunjukan bunga api.

“Selepas itu mereka menginap bersama di sebuah hotel kerana penat dan telah lewat malam untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Tambah Rahmad, operasi sempena sambutan tahun baharu itu membabitkan 42 pegawai penguat kuasa agama dan sebanyak 17 premis di sekitar Bandaraya Melaka dan Alor Gajah telah diperiksa.

Menurutnya, JAIM menahan seramai 13 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita berusia antara 21 dan 60 tahun untuk siasatan lanjut sementara seorang orang yang disyaki (OYDS) wanita dijadikan saksi kes kerana bukan beragama Islam.

“Kesemua pasangan ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1992 iaitu bersekediaman yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan menjauhi kesalahan jenayah syariah dan kemungkaran yang boleh membawa kerosakan yang lebih besar kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya