Lelaki UK masuk kawasan larangan KLIA 1 didenda RM700

Lelaki UK masuk kawasan larangan KLIA 1 didenda RM700

POLAK Kendon didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret, Sepang atas pertuduhan memasuki kawasan larangan di Terminal 1 KLIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki warganegara United Kingdom (UK) didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasuki kawasan larangan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Polak Kendon, 57, yang juga penulis bebas selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

“I do (mengaku salah),” kata tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah masuk ke dalam tempat larangan tanpa menggunakan satu pas yang sah di Pintu C Aras 5 Pelepasan Antrabangsa di KLIA 1 di sini pukul 8.46 malam sehingga 8.47 malam pada 10 Januari lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan yang mewakili Polak memohon mahkamah mengenakan denda minimum apabila berlaku salah faham antara pihak berkuasa dengan tertuduh.

“Pengakuan salah tertuduh juga telah menjimatkan masa mahkamah. Sebelum kejadian tertuduh dari Perth, Australia ke KLIA untuk pergi ke Addis Ababa di Ethiopia. Pasport tertuduh juga sah ketika masuk negara ini.

“Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di negara ini, sering datang ke Malaysia, dia (tertuduh) juga sayang Malaysia,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya ke transit selama dua hari di sebuah hotel di sini pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh dari kawasan Airside Terminal menyatakan ingin ke kaunter Ethiopian Airlines dan ingin kembali ke arah E-Gate (EZPAZZ) tanpa mengimbas pas masuk.

Tertuduh kemudian memanjat E-Gate itu dan merempuh masuk apabila kakinya tersepit menyebabkan polis bantuan memaklumkan kepada Pusat Operasi Keselamatan sebelum pegawai penyiasat menahan lelaki itu keesokan harinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya