PETALING JAYA: Lelaki dipercayai mengugut pelawak terkenal, Harith Iskander dan keluarganya akan didakwa di mahkamah, esok.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 31 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, esok pagi.
“Suspek dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Selasa lalu, media melaporkan suspek lelaki tersebut disambung reman selama tiga hari sehingga esok bagi siasatan kes ugut terhadap pelawak terbabit.
Sabtu lalu, polis menahan lelaki terbabit selepas didakwa membuat ugutan bunuh terhadap Harith,54, susulan satu hantaran media sosial pelawak itu yang dikatakan menyentuh isu ‘ham’.
Razarudin dilaporkan berkata, suspek dikatakan menghubungi mangsa pada pukul 11.21 pagi Selasa lalu ketika pelawak itu berada di hadapan Semua House, Jalan Bunus 6, Masjid India.
Jelas Razarudin, suspek didakwa mengugut mangsa dengan nada kasar dan mengancam untuk membunuhnya.
“Susulan itu, pengurus pelawak berkenaan yang juga bekas isterinya, Dr. Jezamine Lim, menerima mesej mengandungi gambar pegun anak mereka bersama ugutan berbaur ancaman.
“Dr. Jezamine kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 7.31 malam hari yang sama sebelum suspek diberkas,” katanya. – UTUSAN