AMPANG: Seorang lelaki berusia 42 tahun parah selepas diserang secara ganas di Jalan Pandan Indah, di sini, dipercayai akibat dendam lama yang membabitkan kejadian setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas mangsa dibawa ke Hospital Ampang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
“Pada 11 Januari lalu, pihak polis menerima maklumat bahawa mangsa dimasukkan ke zon merah Hospital Ampang akibat serangan fizikal pada pukul 9.10 malam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipukul oleh seorang suspek lelaki di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana dendam lama apabila mangsa dikatakan pernah mencederakan suspek pada pertengahan tahun tahun lalu.
“Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan intensif di HKL.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan seorang lelaki kira-kira pukul 11 malam pada 13 Januari.
“Suspek berjaya diberkas di hadapan IPD Ampang Jaya dan telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk permohonan reman,” katanya.
Tambahnya, mahkamah membenarkan tahanan reman selama lima hari bermula 14 hingga 18 Januari bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan,” katanya. – UTUSAN