KUALA KRAI: Seorang lelaki warga negara Myanmar ditemukan lemas selepas lebih 15 jam dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Nal, Staponal, di sini, semalam.
Msung Zaw, 50, ditemukan kira-kira pukul 10.44 pagi ini dalam keadaan tertiarap dan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi dia mandi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, mayat mangsa dijumpai oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sungai berkenaan bermula kira-kira pukul 8 pagi ini.
Katanya, dalam kejadian semalam, mangsa yang bekerja di kilang papan berdekatan sungai itu dikatakan dihanyutkan arus ketika sedang mandi bersendirian.
“Dua lagj rakannya berada di tebing sungai dan salah seorang daripada mereka sedang memancing. Mangsa disedari hanyut oleh dua rakannya selepas mendapati mangsa hilang dari pandangan,” katanya hari ini. – UTUSAN