JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati ditembak di hadapan sebuah restoran di Jalan Setia 3/2, Taman Setia Indah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan berada di luar restoran tersebut selepas selesai makan tengah hari.
Difahamkan, tidak lama kemudian datang seorang lelaki yang menunggang motosikal berwarna merah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
Mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kejadian dalam masa terdekat.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati pihak polis masih giat menjalankan siasatan.-UTUSAN