BESUT: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjun ke dalam sungai berhampiran Komplek Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Seberang Kastam, di Kuala Besut, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Salleh berkata, mangsa berusia 45 tahun dikatakan cuba melarikan diri dengan terjun ke sungai selepas menyedari kehadiran polis ketika Op Tapis di LKIM kira-kira pukul 7.45 petang semalam.
“Menyedari kehadiran polis di kawasan tersebut, lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke atas motobot yang parkir di tepi jeti sebelum terjun ke dalam sungai.
“Orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba memberi bantuan kepada mangsa tetapi tidak berjaya dan mangsa dipercayai lemas,” katanya hari ini.
Md. Sani berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mayat mangsa telah dijumpai kira-kira pukul 10.25 pagi pada jarak lebih kurang 80 meter dari lokasi mangsa terjun dan mayat mangsa berjaya dinaikkan di Jeti Taman Laut Besut,” katanya. – UTUSAN