SUBANG JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur berusia 14 tahun sehingga hamil.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 12 tengah malam tadi di sekitar Kulai, Johor.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa berkenalan melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan berhubung kes itu daripada seorang doktor sebuah klinik kesihatan pada pukul 12.12 tengah malam 10 Januari lalu.
Tambah Wan Azlan, mangsa dihantar rakannya ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan kandungan sebelum doktor mendapati remaja itu hamil 10 minggu dan disyaki dirogol rakan lelakinya.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an sejak November lalu.
“Bermula daripada perkenalan itu, mangsa dan suspek beberapa kali melakukan hubungan seks di rumah sewa pemuda itu yang terletak di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang menetap di Petaling Jaya, tidak berani memaklumkan keadaannya yang hamil kepada keluarga dan hanya berkongsi perkara itu dengan seorang rakannya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol dan jika sabit kesalahan dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan. – UTUSAN