GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Bukit Mertajam, awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, selain berjaya memberkas suspek yang juga seorang pengganggur, polis turut merampas beberapa jenis dadah dalam serbuan yang dilakukan sekitar pukul 4.15 pagi.
Hamzah berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya di Bukit Mertajam selepas polis memeriksa sebuah motosikal milik lelaki berkenaan yang diparkir di situ.
“Penahanan suspek kemudian membawa kepada penemuan sebuah beg yang mengandungi lima bungkusan plastik dadah disyaki jenis syabu seberat 6.1 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM195,200 selain heroin seberat 900 gram bernilai kira-kira RM8,800.
“Keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan bernilai RM204,000 dan boleh digunakan sehingga 35,000 kali penggunaan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hamzah lagi, risikan mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak September 2024 dengan menjadikan kawasan sekitar Pulau Pinang sebagai pasaran utama.
“Ujian saringan air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, dan THC (tetrahydrocannabinol),” katanya yang memberitahu, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Tambah beliau, suspek kini direman polis selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 9 Januari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN