Lelaki didakwa langgar mati tiga warga Pakistan - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa langgar mati tiga warga Pakistan

MOHD. Azizol Abdul Rasheed didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri, April lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri, April lalu.

Tertuduh, Mohd. Azizol Abdul Rasheed, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki yang masih bujang itu didakwa memandu kereta Proton Iswara di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian kepada Khan Adil, Muhammad Zahir dan Shayan Muhammad.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu Kilometer 16, Jalan Teluk Intan Hala Bidor, Teluk Intan di dalam daerah Hilir Perak pada pukul 8.10 pagi, 10 April 2024.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding tersebut, tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan memandu kenderaan sama di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada Khan Yaseen, Khan Saleem dan Kamran Ali.

Kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, jila sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, namun jika jaminan dibenarkan oleh mahkamah, jumlah yang dicadangkan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan manakala lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela, Aliff Aiman Rusli memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh bekerja di kedai makan dengan pendapatan harian RM50 selain menanggung ibu berusia 72 tahun yang menghidap sakit tua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi keenam-enam pertuduhan dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes pada 19 Februari depan untuk serahan dokumen.

Menerusi laporan media pada 10 April lalu, tiga lelaki warga Pakistan berusia antara 20 hingga 35 tahun yang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri maut selepas dilanggar sebuah kereta.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Dua daripada mereka maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya