MELAKA: Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 16 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh berusia 48 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa meraba payudara mangsa pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah bernombor Taman Krubong Jaya Fasa 2 dalam daerah Melaka Tengah pada 2 Januari 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum dibawah akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dan memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen serta lantikan peguam bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu kedai selain menanggung dua anak tiri dan seorang anak angkat berusia enam bulan serta ibu mentua yang menghidap sakit usus.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebualan dan menghadiri setiap sebutan serta perbicaraan kes.
Mahkamah menetapkan tarikh 18 Februari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN