Lelaki dibelasah cuba larikan mesin basuh dengan motosikal

Lelaki dibelasah cuba larikan mesin basuh dengan motosikal

TANGKAP layar rakaman video yang memaparkan seorang lelaki yang mencuri sebuah mesin basuh di Taman Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pencuri bukan sahaja berputih mata selepas gagal melarikan sebuah mesin basuh tetapi turut dibelasah selepas ditangkap dalam kejadian di Taman Kuala Muda, di sini pagi semalam. 

Kejadian pada pukul 9.02 pagi itu turut tular di media sosial selepas satu video berdurasi tiga minit 48 saat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran mangsa yang kemudian dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam video itu, suspek dilihat menaiki sebuah motosikal dan menghampiri rumah terbabit sebelum merosakkan pintu pagar dan memasuki ruang garaj yang menempatkan beberapa buah mesin basuh dan peti sejuk.

Suspek yang memakai topi keledar kemudian mengangkat sebuah mesin basuh dan cuba meletakkan di belakang motosikalnya. Namun semasa menghidupkan enjin, pemilik rumah menyedari kehadiran suspek sebelum bersama seorang ahli keluarga berjaya menahannya.

Suspek warga tempatan berusia 36 tahun itu dibelasah selepas dia mengaku cuba mencuri mesin basuh terbabit. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya melalui Unit Kereta Peronda (MPV) menerima laporan daripada orang awam.

“Anggota MPV melakukan tangkapan semula ke atas suspek yang berasal dari Kulim dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut. Dia kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah.

“Semakan mendapati suspek merupakan penganggur dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah serta tiga kes membabitkan penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN