KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mengalami masalah mental sejak April 2022 dilaporkan mengganggu jemaah serta merosakkan harta benda di sebuah masjid di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dalam kejadian awal pagi 1 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, lelaki berusia 25 tahun itu didakwa merosakkan satu unit televisyen dan satu unit kerusi di dalam masjid tersebut sekitar pukul 5.40 pagi.
“Suspek dilaporkan tidak menerima rawatan susulan sejak kali terakhir mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Januari 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis melalui talian Hotline Kuala Lumpur di 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di 03-22979222,” katanya.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 2 minit 46 saat memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial sejak tengah hari.-UTUSAN