TAIPING: Seramai 80 banduan dan dua orang pegawai penjara telah diambil keterangan oleh pihak polis berhubung kes kematian seorang banduan di Penjara Taiping pada minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan akan diangkat ke peringkat Bukit Aman.
Beliau juga mengesahkan kes tersebut melibatkan kematian seorang banduan dan punca kejadian itu masih disiasat sejak laporan diterima pada 17 Januari lalu.
“Semua banduan yang terlibat dan pegawai-pegawai penjara sedang dalam proses untuk ambil kenyataan. Kita kena ambil secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2025 peringkat PDRM Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.
Mengikut tular dalam media sosial, didakwa berlaku pertikaman mulut antara banduan dengan petugas penjara yang akhirnya membawa kepada kekecohan serta pertelingkahan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Zulkafli juga berkata sepasukan polis dikerah mengambil langkah berjaga-jaga susulan penganjuran sidang akhbar berkaitan kes berkenaan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikatakan turut membabitkan ahli keluarga mangsa di penjara tersebut.
Sementara itu, beliau berkata difahamkan kejadian 12 motosikal musnah dalam kebakaran di kawasan garaj sebuah rumah di Parit, Perak pada awal pagi didakwa berpunca akibat tindakan pemilik bengkel membakar kotak telur.
Katanya, kejadian juga difahamkan bukan berunsur jenayah atau tindakan sabotaj, namun atas kecuaian dan beliau tidak menolak kemungkinan kotak telur itu dibakar untuk menghalau nyamuk sebelum ditinggalkan dan merebak. – UTUSAN