Lebih 7,000 pembayar cukai guna e-Invois 

Lebih 7,000 pembayar cukai guna e-Invois 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 7,000 pembayar cukai Fasa II telah menggunakan sistem e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rekod itu adalah setakat 17 Januari lalu, sementara Fasa III turut mencatatkan penyertaan awal secara sukarela daripada 4,900 pembayar cukai.

LHDN berkata, pelaksanaan e-Invois di Malaysia yang memasuki fasa kedua memperlihatkan peningkatan penyertaan yang menyakinkan.

“Trend positif ini mencatatkan secara keseluruhan sebanyak 17,000 pembayar cukai (syarikat / perniagaan/organisasi) telah secara aktif menggunakan sistem ini dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-Invois.

“Jumlah tersebut disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-Invois ini semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai,” katanya dalam kenyataan.

LHDN turut memaklumkan, pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai tahun ini melibatkan semua pembayar cukai termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Pada masa ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 yang mana ia melibatkan lebih 700,000 perusahaan mikro dan kecil.

“Selain itu, kerajaan turut menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan dalam memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-Invois disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.

“Malah, sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan,” katanya.

Dalam usaha membantu pembayar cukai termasuk PMKS melaksanakan e-Invois tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, LHDN telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantaran e-Invois.

“Sebagai maklumat tambahan, aplikasi MyInvois juga telah dibangunkan untuk kemudahan pembayar cukai. Kini, pembayar cukai boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya.

Bagi PMKS yang berkeupayaan dari segi kewangan, mereka mempunyai pilihan untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan perkhidmatan pembekal teknologi.

“Sebagai menyokong komitmen tersebut, kerajaan telah menyediakan insentif cukai bagi perniagaan yang melakukan perbelanjaan untuk pelaksanaan e-Invois seperti tempoh tuntutan elaun modal dikurangkan daripada empat tahun kepada tiga tahun bagi perbelanjaan pembelian peralatan ICT dan pakej  perisian komputer mulai Tahun Taksiran (TT) 2024.

“Malah, potongan cukai sehingga RM50,000 dikenakan untuk setiap TT bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai TT 2024 hingga 2027,” jelasnya.

LHDN dalam kenyataan sama turut memaklumkan, sejak e-Invois mula dilaksanakan, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pembayar cukai dalam aspek operasi perniagaan.

Antara cabaran tersebut adalah kesukaran di pihak penjual untuk mendapatkan maklumat Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pembeli bagi tujuan pengeluaran e-Invois pada peringkat awal pelaksanaan.

“Sehubungan itu, LHDN telah menyediakan platform perkhidmatan carian TIN bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang merangkumi aktiviti percukaian termasuklah bagi pelaksanaan e-Invois,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya