PETALING JAYA: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) membawa pulang hasil memberangsangkan dengan memperkukuhkan kepercayaan kerajaan UAE dan syarikat utama dari negara Teluk terhadap Malaysia sebagai rakan strategik ekonomi.
Pencapaian utama lawatan ini ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) yang dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, kejayaan ini membuka peluang untuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, dan Arab Saudi serta GCC.
Menurut Anwar, lawatan pertama ke luar negara tahun ini membuahkan kejayaan yang sangat bermanfaat untuk rakyat dan juga negara.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan lebih luas dan meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang antaranya ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan.
“Ini termasuk meningkatkan sinergi perdagangan dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC) dan ASEAN, selain pelaburan dengan syarikat gergasi UAE.
“Terima kasih UAE, moga bertemu lagi dan kini misi delegasi Malaysia bergerak ke London, United Kingdom dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara,” kata Anwar.
Lawatan kerja selama tiga hari merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023 dan lawatan pertama beliau ke luar negara selepas Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Anwar juga menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga Pemerintah Dubai.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk bertemu tiga pengurusan kanan syarikat utama dan dana kekayaan berdaulat negara itu iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar.
Antara hasil pertemuan tersebut ialah Masdar merancang pelaburan bersama syarikat tempatan dalam projek tenaga hijau, infrastruktur, bateri utama dan pengukuhan grid tenaga.
ADIA pula berminat menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, rangka kerja Ekonomi MADANI serta projek di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Mubadala juga memfokuskan kepada pengeluaran gas asli cecair (LNG), infrastruktur berkaitan gas, serta pembangunan hidrogen biru dan teknologi pemerangkapan karbon (CCUS).
ADIA juga merancang untuk menyertai penyusunan semula Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan pengalaman pengurusan lapangan terbang seperti di Dubai, Abu Dhabi, Heathrow dan Paris.
Kesan positif daripada lawatan ini akan memberi manfaat kepada seluruh negara serta sokongan kerajaan terhadap penyertaan pelabur UAE dalam projek-projek strategik Malaysia.
Anwar turut bertemu Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi serta Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum di Dubai yang dianggap pemudah cara utama dalam kejayaan lawatan ini.
Penyertaan Perdana Menteri bersama barisan pemimpin negara lain di ADSW semalam dilihat bertepatan dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.
Beliau turut menghadiri sesi dialog Youth 4 Sustainability (Y4S) iaitu sebahagian daripada program ADSW 2025 untuk golongan belia. – UTUSAN