DENGKIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan siri lawatannya ke empat buah negara baru-baru ini adalah sangat bermakna dan berkesan.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak supaya terus kekal fokus dalam meningkatkan soal ekonomi negara, kemahiran, budaya ilmu dan kecerdasan pintar (AI).
“Dalam keadaan dunia sekarang yang penuh dengan pelbagai rencam dan rencah politik, kita perlu tumpu soal ekonomi, peningkatan budaya ilmu, kemahiran dan kecerdasan pintar (AI). Kita kena kembali memohon rakyat supaya fokus dalam bidang itu supaya tidak ketinggalan.
“Dan sekarang ini dengan dasar-dasar Amerika Syarikat yang tidak menentu, kita harus membina kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman itu bagi saya sangat mendesak dan sangat asasi,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama pelajar UiTM Dengkil di Pusat Islam UiTM Dengkil, di sini hari ini.
Anwar berkata, rakyat juga mesti digerakkan untuk terus menguasai ilmu, meningkatkan kemahiran dan mengangkat martabat negara bagi menghadapi dunia yang semakin mencabar dan penuh persaingan ini.
Pada masa sama, beliau juga komited mahu memperkukuhkan semula blok ASEAN supaya lebih kuat.
Sebelum ini, Anwar menyertai siri lawatan ke empat buah negara bagi membawa misi penting dengan mengetengahkan suara Malaysia ke persada dunia selain meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala.
Ia bermula dengan lawatan rasminya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK), Belgium, dan Switzerland sejak 12 Januari lalu.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau mengetuai delegasi Malaysia termasuklah ke Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos menerusi destinasi lawatan akhirnya ke Switzerland. – UTUSAN