PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk pengarah sebuah agensi kerajaan selain tiga pengarah syarikat lain ekoran disyaki bersubahat dalam urusan kelulusan lesen kenderaan perdagangan.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi berbeza sekitar Melaka dan Lembah Klang.
Penahanan itu dibuat menerusi Op Loader yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM sekitar pukul 9 hingga 12 tengah hari tadi.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi.
“Ia dibuat tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Syarikat ini dipercayai bersekongkol dengan pegawai agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa,” katanya hari ini.
Sumber berkata, mereka juga dibayar sekitar RM3,500 bagi setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan itu menjalani pemeriksaan awalan.
“Berdasarkan risikan SPRM, bayaran rasuah dikenakan sebanyak RM3,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat yang ingin memperolehi LKP,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kesemua suspek.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi proses permohonan reman. – UTUSAN