PETALING JAYA: Jawatankuasa bebas perlu dilantik bagi meneliti isu melibatkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) secara menyeluruh.
Pertubuhan Tweet Perubatan (MedTweetMY) berkata, jawatankuasa itu perlu melibatkan wakil pelbagai pihak, termasuk doktor di lapangan dalam menangani kesan jadual waktu kerja yang fleksibel
“Proses ini perlu dilakukan dengan penuh ketelusan. Selain itu padangan daripada doktor di lapangan perlu diambil kira,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, pendekatan itu amat penting bagi merangka penjadualan waktu bekerja yang lebih adil, menyeluruh, dan dapat diterima oleh semua doktor perubatan.
Semalam, media melaporkan kerajaan membatalkan cadangan WBB, sistem syif baharu untuk petugas kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah MedTweet, keputusan untuk meletakkan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu adalah keputusan yang tepat.
“Selaku bekas Ketua Pengarah Kesihatan yang dihormati dan berintegriti, beliau diyakini mampu memimpin jawatankuasa ini ke arah menghasilkan polisi yang memanfaatkan kesejahteraan para doktor perubatan,” katanya. – UTUSAN