NIBONG TEBAL: Pelanjutan tempoh pajakan tanah kepada 99 tahun serta diskaun premium untuk permohonan pajakan itu oleh kerajaan Pulau Pinang mendapat sambutan baik daripada penduduk khususnya pemegang pajakan yang berkenaan setakat ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika mengakui perkara itu berkata, beliau gembira dengan maklum balas positif yang diterima oleh semua responden termasuk semasa sesi dialog terbaharu yang diadakan di Kampung Valdor di sini, kelmarin.
“Kami (kerajaan negeri) komited untuk mendengar dan mengambil tindakan terhadap kebimbangan pemegang pajakan (susulan pelanjutan serta pemberian diskaun untuk tempoh pajakan itu).
“Apapun, saya berharap agar mereka yang hadir hari ini (kelmarin) berpuas hati dengan penjelasan serta maklum balas yang kami berikan,” katanya.
Sesi dialog selama satu jam telah diadakan bersama pemegang pajakan di situ kelmarin yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik serta pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri bagi memperjelaskan secara terperinci mengenai isu terbabit.
Menurut Kon Yeow, ketika ini, pemegang pajakan di Pulau Pinang boleh memohon untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka kepada mana-mana tempoh sama ada 30 atau 60 tahun dengan kelayakan maksimum sehingga 99 tahun.
Malah katanya, diskaun premium iaitu sehingga 90 peratus akan diberi berdasarkan nilai semasa tanah seperti yang telah diumumkan secara rasmi pada tahun 2023.
“Dalam hal ini, saya berharap agar semua pemegang pajakan yang berkenaan segera mengambil peluang yang diberi menerusi diskaun premium ini kerana ia akan memberi manfaat besar kepada mereka.
“Diskaun premium ini merangkumi pelbagai kategori kegunaan tanah, termasuk pertanian, kediaman, komersial, dan perindustrian,” ujar beliau.
Terdahulu, pelanjutan tempoh pajakan tanah serta diskaun premium yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 itu telah dipersetujui sebulat suara ketika sesi pembentangan Bajet 2023 yang lalu.
Kon Yeow ketika itu dipetik sebagai berkata, meskipun pemberian diskaun premium itu akan mengurangkan hasil serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan negeri, namun, ia dibuat atas beberapa pertimbangan termasuk faktor sosial serta kepentingan umum khususnya untuk penduduk Pulau Pinang. – UTUSAN