LANGKAWI: Sebanyak RM5.44 bilion dijana dalam industri pelancongan di Pulau Langkawi, di sini setakat tempoh enam bulan pertama tahun lalu iaitu sehingga Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, jumlah itu berbanding sasaran keseluruhan sebanyak RM6.7 bilion untuk sepanjang 2024.
“Berbanding 2023, pendapatan pelancongan kita adalah sebanyak RM4.4 bilion untuk sepanjang tahun itu. Jadi, kita dapat lihat pendapatan pelancongan kini meningkat hampir dua kali ganda,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi jumlah kemasukan pelancong pula, Langkawi merekodkan seramai 2.51 juta orang setakat November lalu.
“Walaupun sebanyak 2.51 juta orang sehingga dua bulan lalu, namun peningkatan pendapatan menunjukkan lebih ramai pelancong dengan kuasa membeli datang ke Langkawi. Dalam tempoh sama, jumlah kemasukan pelancong asing juga dilihat hampir setara dengan pelancong tempatan,” ujarnya.
Haslina berkata, jumlah itu berbeza dengan tahun 2023 di mana kira-kira 60 peratus pelancong terdiri daripada pelancong tempatan dan selebihnya adalah pelancong asing.
Sementara itu, beliau berkata, Langkawi juga bersedia untuk menjadi sebahagian daripada tuan rumah bagi Persidangan ASEAN tidak lama lagi.
“LADA berperanan untuk menyelaras apa sahaja program, mesyuarat atau pemukiman dengan semua agensi di Langkawi. Setakat sekarang tiga mesyuarat penting dan pemukiman menteri-menteri luar akan diadakan di sini,” ujarnya. – UTUSAN