KEMAMAN: Seorang lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) mental cedera selepas dipukul dan disepak oleh beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini, hari ini.
Lelaki itu dipukul beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli kira-kira pukul 9.30 pagi menyebabkan suasana di pasar itu tegang dan kecoh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang berusia 47 tahun menunggang motosikal memasuki tapak jualan pasar tani.
“Lelaki itu kemudian terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah. situasi itu mendorong beberapa individu memukul mangsa. Siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan OKU mental dan dia telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” katanya.
Wa Muhamad berkata, polis sedang mengesan beberapa individu terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular dalam media sosial lelaki dipukul dan disepak di beberapa bahagian anggota badan termasuk muka dan diseret dua lelaki di tengah-tengah pasar itu. – UTUSAN