Lambakan cerita sondol, Beto Kusyairy harap lebih banyak ketengahkan mesej perpaduan - Utusan Malaysia

Lambakan cerita sondol, Beto Kusyairy harap lebih banyak ketengahkan mesej perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Beto Kusyairy berharap lebih banyak pihak berani kehadapan untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menyentuh mengenai perpaduan bangsa.

Oleh itu, pelakon Imaginur itu memuji usaha Bank Rakyat yang mahu menerbitkan filem pendek, Aur Dengan Tebing kerana dianggap mampu mengangkat nilai harmoni dalam perbezaan bangsa.

“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Bank Rakyat. Saya suka apa yang cuba diketengahkan menerusi filem pendek ini.

“Saya melihat pada ketika ini, penyatuan untuk menjadikan Malaysia menjadi satu bangsa perlu digalakkan.

“Tidak membezakan bangsa dan ini yang cuba diketengahkan mereka termasuk bantuan diperkenalkan dalam video pendek ini yang mungkin orang luar tidak tahu,” katanya.

Beto ditemui di sidang media sempena tayangan perdana filem pendek Aur Dengan Tebing di Aurum Theater, The Gardens Mall di sini, hari ini.

Menerusi filem pendek berdurasi sembilan minit itu Beto menyandang watak utama sebagai Adam menceritakan kisah persahabatan sejak kecil dengan Raj dan Ah Chong.

Bukan itu sahaja, Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Festival Filem Malaysia ke-33 itu juga berharap lebih ramai yang mencontohi usaha Bank Rakyat dengan memberi peluang menerbitkan naskhah berbeza selain cerita berkenaan penyondol atau cinta tiga segi.

“Kita kembali kepada soal penulisan dan kepercayaan sama ada naskhah itu boleh dijual kepada penonton atau tidak.

“Kadang pihak atasan berbincang mahu tulis tentang perpaduan tapi ada yang berbeza pendapat kerana merasakan cerita penyondol atau cinta tiga segi lebih mudah dijual.

“Tapi kita harus beri peluang mengangkat cerita perpaduan terutama kepada penulis yang bagus untuk mengolah naskhah,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, berkata pemilihan Beto adalah berdasarkan kemunculannya dalam beberapa video iklan raya sebelum ini yang berjaya menyentuh jiwa penonton.

“Pemilihan pelakon kami melihat kepada jalan cerita. Untuk pelakon kanak-kanak kami mendapatkan saranan daripada pasukan produksi yang lebih arif dalam menguruskan mereka.

“Untuk pelakon dewasa seperti Beto, kia lihat dia antara pelakon yang selalau ada dalam iklan raya, malah ada kepelbagaian watak yang dia sudah bawakan.

“Jadi saya rasa watak utama untuk filem pendek ini sesuai dibawa oleh Beto,” katanya.

Tayangan perdana hari ini turut dihadiri Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dan pengarah Aur Dengan Tebing, Bobby Husaini.

Aur dengan Tebing menampilkan kisah keutuhan persahabatan tiga sahabat iaitu Adam, Raj dan Ah Chong yang melalui pelbagai cabaran hidup demi mencapai impian dan kebahagiaan.

Selain Beto, filem pendek itu juga menampilkan Khir Rahman, Aghonderan Sahadevan, MN Firas, Ah Chong dan S Yasshan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya