KOTA BHARU: Kerja-kerja pemasangan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 400 kilometer (km) dari Tunjong, di sini ke Maran, Pahang siap sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rel Link Sdn. Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerja-kerja pemasangan landasan itu siap dua bulan setengah lebih awal daripada jadual asal meletakkan projek berkenaan di landasan tepat untuk disiapkan sepenuhnya pada Disember 2026.
“Hari ini kita melihat pencapaian kerja yang sangat baik apabila landasan ini disiapkan dua bulan setengah lebih awal daripada masa yang dijadualkan.
“Dengan ini pencapaian kerja keseluruhan telah mencapai 77.39 peratus dan berada pada landasan tepat untuk disiapkan pada penghujung tahun depan dan mula beroperasi pada Januari 2027,” katanya Selepas Majlis Penyempurnaan Kerja Pemasangan Landasan Dari Maran Ke Kota Bharu di Tunjung, hari ini.
Darwis berkata, kerja-kerja menyiapkan landasan itu sangat signifikan kerana melibatkan laluan utama ECRL daripada Pahang ke Kelantan.
Katanya, setakat ini tiada sebarang isu besar dihadapai yang boleh melewatkan penyiapan projek walaupun Kelantan dilanda bencana banjir bermula November tahun lalu.
“Kita turut berdukacita dengan kejadian bajir yang melanda Kelantan baru-baru ini tetapi bersyukur kerana bencana alam itu tidak menjejaskan kerja-kerja pemansangan landasan sehingga ia disiapkan pada hari ini.
“Sehubungan itu kami berterima kasih kepada semua penduduk terlibat, Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri terlibat kerana telah memberikan kerjasama yang baik dalam usaha menyiapkan projek mega ini,” ujarnya. – UTUSAN