Lakonkan watak suami berpoligami, Amar Baharin sedia terima kecaman - Utusan Malaysia

Lakonkan watak suami berpoligami, Amar Baharin sedia terima kecaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amar Baharin, 39, sedia berdepan kecaman gara-gara melakonkan watak suami beristeri dua dalam drama Berbahagi Suami arahan Uchee Fukada.

Katanya, dia maklum watak tersebut bukanlah karakter yang disenangi penonton wanita, justeru dia sedia menerima kutukan sekiranya watak Dhani itu membangkitkan kemarahan audiens yang menonton drama berkenaan.

“Saya yakin majoriti wanita tidak bersetuju dengan poligami. Tajuk drama ini pun sudah berpotensi membangkitkan kemarahan golongan ini.

“Apa pun saya sedia terima kecaman. Niat saya adalah untuk melakonkan watak Dhani ini sebaik mungkin. Kalau ia dibenci maksudnya lakonan saya berjaya,” katanya yang ditemui sempena sidang media dan forum drama berkenaan baru-baru ini.

Berbahagi Suami mengisahkan rumah tangga Dhani dan Bella yang berantakan apabila Dhani memperkenalkan Aishah sebagai isteri keduanya. 

Niat Dhani mengahwini Aishah atas dasar budi ternyata, bukanlah mudah untuk dipikul Aishah yang terpaksa mendepani rahsia masa silamnya dengan Bella.

Drama yang ditayangkan di saluran Astro Prima itu turut dibintangi Elizad Sharifuddin, Sahrifah Husna, Nazrief Nazri, Wan Raja, Kuza Muzani, Amy Mastura dan ramai lagi.

Diminta berkongsi pandangan mengenai amalan poligami, bapa seorang cahaya mata ini berpendapat perkara itu bukan kesalahan kerana dibenarkan dalam agama.

“Saya tak boleh kata saya mahu atau tidak berpoligami, kerana ia tidak menyalahi agama. Saya berserah kepada ketentuan Tuhan.

“Jika ditakdirkan saya tergolong dalam kalangan yang berpoligami, saya nak cakap apa? Apa yang boleh saya katakan, memadai apa yang saya miliki hari ini.

“Tumpuan saya sekarang adalah kepada keluarga dan membesarkan anak-anak, itu sahaja,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN