KEMAMAN: Seekor lagi penyu agar ditemukan mati di Pantai Penunjuk Kijal, semalam iaitu kurang 36 jam selepas penemuan bangkai reptilia marin itu, Isnin lalu.
Bangkai penyu kedua itu ditemukan Amru Rashid, 37, bersama rakannya, Che Wan Suhaimi Che Wan Sidik, 53, pada pukul 6.40 petang semalam, kira-kira 200 meter dari lokasi penemuan bangkai penyu pertama yang dijumpai seorang wanita.
Amru berkata, mereka yang sedang berehat di pantai itu melihat objek besar yang terdampar di gigi pantai dan dipukul ombak.
“Kami menghampiri objek itu mendapati seekor penyu dalam keadaan terbalik telah mati. Kami dapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian ekor bangkai penyu itu, mungkin mati terjerut pukat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Amru berkata, berdasarkan keadaan penyu yang masih sempurna dan tidak berbau serta tidak mereput, dia percaya penyu tersebut baru sahaja mati.
“Berdasarkan saiznya, penyu itu dianggarkan seberat lebih 80 kilogram dan kami cuba melingkup semula badan penyu yang terbalik itu, memang agak berat.
“Biasanya penyu ini mati kerana terjerut pukat atau makan plastik. Bukan mudah nak jumpa penyu bersaiz besar sekarang,” katanya. – UTUSAN