BALING: Kebakaran berturut-turut yang berlaku di Kupang sejak 23 Disember lalu merebak ke sebuah rumah di Kampung Charuk Kapas, Kuala Pegang, di sini malam tadi.
Kejadian pukul 9.15 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa ekoran penghuni tidak berada di rumah sewaktu kebakaran.
Mangsa, Normadiah Hassan, 64, berkata, dia tidak menyangka kebakaran di Kupang yang dilaporkan dan tular di media sosial sejak kebelakangan ini turut menimpa keluarganya yang ketika itu dia bersama anak perempuan pergi ke rumah seorang lagi anak di Alor Setar.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu rumah yang kami sewa sejak dua tahun lalu telah terbakar, apabila balik saya dapati semuanya hangus, tak sempat selamatkan apa-apa termasuk dokumen penting,” katanya.
Anaknya, Muhammad Hakimi Md. Noh, 23, berkata, sebelum kejadian dia keluar ke tempat kerja dan rumah itu ditinggalkan dalam keadaan baik.
“Sebelum ini saya mendengar cerita kebakaran berturut-turut yang berlaku di sana sini dan saya sentiasa berjaga-jaga, malah orang kampung pun turut mengadakan kawalan.
“Kebakaran di tempat lain itu berlaku pada awal pagi, namun tak sangka pula rumah saya terbakar sebelum tengah malam, ke mana saya pergi selalu ingatkan untuk balik awal sebab bimbang perkara buruk berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, jiran mereka, Khairuzzaman Shahadan, 39, berkata, bunyi bising dari kandang kambing menjadi petunjuk rumah jirannya sedang terbakar ketika dia baru pulang dari tempat kerjanya di Sik.
“Apabila sampai di rumah, saya terdengar sepasang kambing yang berada di kandang belakang rumah mengembek dengan suara agak pelik, saya bawa anak untuk melihat keadaan itu.
“Tiba-tiba anak menjerit ketakutan dan menunjukkan api yang sedang marak di dalam rumah jiran, saya cuba menarik pili untuk memadam namun keadaan air yang perlahan menyebabkan usaha saya gagal,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud berkata, kemusnahan melibatkan hampir 80 peratus rumah dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menafikan terdapat unsur misteri atau mistik dalam kes-kes kebakaran rumah dan kenderaan yang berlaku berturut-turut di Kupang, sebaliknya terdapat unsur-unsur khianat. – UTUSAN