Kuza puas berdepan penolakan

Kuza puas berdepan penolakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUZA Muzani nama yang tidak asing dalam dunia f ilem dan drama tempatan. Berpewatakan lembut dan memiliki kecantikan tersendiri, ibu tunggal berusia 51 tahun ini mencuri perhatian ramai penerbit ketika awal pembabitannya dulu. 

Kuza atau nama sebenarnya, Tengku Sariza Tengku Muzani tidak pernah bercita-cita menjadi pelakon. 

Namun, Tuhan menentukan jalan yang dipilihnya lebih tiga dekad lalu berkekalan hingga ke hari ini. 

Kuza ketika ditemui pada forum dan sesi media drama Berbahagi Suami baru-baru ini menceritakan permulaan pembabitannya sebagai pelakon sekitar penghujung era 80-an dulu. 

“Pembabitan saya dalam bidang ini satu kebetulan. Ketika remaja, saya sering dipelawa rakan sebaya untuk hadiri uji bakat menjadi pelakon iklan.

“Ketika itu, saya hanya temani kawan, dan sekadar ingin mencuba. Bukan mudah ketika itu, saya berdepan banyak penolakan. Namun selepas beberapa percubaan, saya diterima berlakon beberapa iklan tempatan. 

“Bayangkan, macam mana saya boleh berlakon sedangkan saya ini pemalu. Tapi itulah, memang kebetulan dan tidak dirancang,” kongsinya. 

Kata Kuza, kemenangan tempat kedua dalam pertandingan Dewi Remaja 1990/1991 telah membuka banyak pintu lakonan kepadanya. 

“Sebenarnya, saya pernah dipilih menjadi wajah sampul hadapan majalah Remaja sebelum menyertai pertandingan Dewi Remaja lagi. 

“Ketika itu saya sudah pun mula berlakon, antaranya watak sambilan dalam drama bersiri Opah. Saya bersyukur sebenarnya, selepas menang tempat kedua Dewi Remaja 1990/1991, banyak peluang berlakon saya terima,” ujarnya.

JINS SHAMSUDDIN

Disoal mengenai idola, Kuza memetik nama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai antara pelakon kegemarannya.

Dan dia bersyukur kerana berpeluang bekerja di bawah arahan pelakon dan sutradara bertaraf legenda itu menerusi filem Balada pada tahun 1993. “Masa itu umur saya baru mencecah 18 tahun.

Watak yang saya lakonkan adalah seorang gadis kampung yang bertunang dengan seorang lelaki yang dilakonkan Datuk M. Nasir.

“Seronok bekerja dengan Allahyarham, cara beliau lembut dan bukanlah seorang yang garang.

“Pengalaman itu, saya anggap sangat berharga sebab bukan senang pelakon baru berpeluang berlakon bawah arahan pengarah bertaraf legenda,” kongsinya.

Kuza bagaimanapun sedikit kecewa kerana tidak berpeluang bekerjasama mahupun bertemu empat mata dengan idolanya, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

“Saya memang minatkan Allahyarham. Kerana itu saya sedih tak sempat bertemu arwah. “Beliau meninggal dunia ketika saya baru melangkah ke dalam dunia lakonan,” ujarnya.

KEKAL CANTIK DI USIA 52

“Saya jaga sejak usia 20-an.” Demikian perkongsian Kuza apabila disoal mengenai kecantikannya yang berkekalan di usia separuh abad. 

Katanya, tiada rahsia yang disimpan, sekadar disiplin menjaga kebersihan wajah sejak usia muda. 

“Kecantikan ini kita boleh jaga, tetapi tak boleh ubah. Amalan saya sejak muda adalah pakai pelembap kulit, siang dan malam. Sudah menjadi kebiasaan. 

“Pada usia lebih lima dekad ini pun saya masih bersenam kerana ia baik untuk kesihatan. Selain itu, saya jaga pemakanan, itu sahaja,” kongsinya. 

Dalam pada itu, Kuza menolak kaedah menyalahi agama yang ibarat menjadi kebiasaan dewasa ini. 

“Saya sekadar buat rawatan wajah, kalau sulam benang atau botoks saya jauhkan sebab ia menyalahi agama. 

“Dalam bidang ini, penampilan memang harus dijaga. Tetapi kenalah berpada-pada. Janganlah sampai melakukan perkara yang dilarang agama, mengubah ciptaan Tuhan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN