KUALA LUMPUR: Pelakon, Kuza Muzani, 52, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pelakon baharu yang enggan melakukan latihan bersama pelakon lama sebelum memulakan penggambaran sesebuah drama atau filem.
Kata Kuza, sikap tersebut mendatangkan masalah dan mengakibatkan hubungan pelakon lama dan baru renggang sekaligus mewujudkan persekitaran kerja yang kurang harmoni.
“Cara pelakon lama bekerja lain dengan pelakon baru. Contohnya, dulu, sebelum memulakan penggambaran, pelakon akan bersama-sama melakukan latihan untuk mencari mencari titik keserasian dan menyelesaikan masalah.
“Tapi masalahnya, segelintir pelakon baharu menolak untuk melakukan latihan. Malah mereka menganggap seperti diarah-arahkan apabila diajak oleh pelakon lama. Disebabkan itu, berlaku salah faham.
“Hasilnya, bila masuk set timbul pula banyak masalah. Skrip tak hafal, keserasian tak wujud,” kongsinya.
Kuza berkata demikian selepas forum dan sesi media drama Berbahagi Suami baru-baru ini.
Dia diminta mengulas mengenai masalah yang timbul antara segelintir pelakon baharu dan lama sehingga mengakibatkan kedua pihak bermasam muka dan sukar bekerjasama.
Kuza dalam masa yang sama menekankan kepentingan latihan sebelum memulakan penggambaran yang menjadi amalan pelakon berpengalaman.
“Latihan penting kerana ketika itulah pelakon dapat berbincang dan mencari keserasian supaya tidak berlaku kejanggalan ketika berlakon bersama.
“Dan ketika latihan itu jugalah masalah dialog dan skrip dapat diatasi dengan jalan perbincangan.
“Tetapi sesetengah pelakon baharu tidak faham akan perkara itu. Kesannya, terjadi masalah di set penggambaran seperti tak hafal dialog dan sebagainya,” jelasnya.