KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu mengutip bayaran saman trafik tertunggak berjumlah RM131,450 dalam tempoh lapan jam sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sambutan Tahun Baharu Cina 2025, semalam.
Antara saman yang diselesaikan ialah kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar isyarat lalu lintas dan menghalang laluan trafik.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, jumlah kutipan tersebut melibatkan penyelesaian sebanyak 1,078 saman trafik tertunggak yang diberi pengurangan 50 peratus.
“Program yang berlangsung di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu mendapat sambutan memberangsangkan dari orang ramai yang menyerbu kaunter sebaik sahaja program bermula.
“Kita tidak menetapkan sebarang sasaran kutipan, tetapi tahap kesedaran orang ramai semakin baik untuk menyelesaikan saman masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN