KTMB tingkat kekerapan KTM Komuter

KTMB tingkat kekerapan KTM Komuter

ANTHONY Loke Siew Fook menunjukkan carta jadual waktu perkhidmatan baharu KTM Komuter sambil disaksikan Normah Osman dan Suhaimi Yaacob pada Sidang Akhbar Perubahan Jadual Waktu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang di KL Sentral, semalam. – utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Ta­nah Melayu Berhad (KTMB) memperkenal jadual bersepadu melibatkan kombinasi tren, bas dan van yang bakal meningkatkan kekerapan tren setiap 30 minit pada waktu puncak di laluan KTM Komuter Pelabuhan Klang-KL Sentral.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jadual baharu itu akan berkuatkuasa pada 20 Januari manakala perkhidmatan bas dimulakan lebih awal iaitu pada 17 Januari.

Katanya, penjadualan semula dilakukan agar aset dapat ditumpukan pada waktu puncak dan pada masa yang sama, kerja-kerja melibatkan projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Untuk arah Pelabuhan Klang ke KL Sentral, tren akan ber­operasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit.

“Bagi arah KL Sentral ke Pelabuhan Klang pula, tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak petang dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit,” katanya dalam sidang akhbar Penambahbaikan Jadual Bersepadu KTM Komuter Laluan

Pelabuhan Klang-KL Sentral, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pengangkutan, Datuk Normah Osman dan Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob.

Anthony berkata, selain mengurangkan masa menunggu dari 60 minit kepada 30 minit, penjadualan bersepadu turut mengurangkan masa perjalanan kese­luruhan tren antara Pelabuhan Klang dan KL Sentral sehingga 15 minit.

“Merujuk kepada statistik taburan menerusi sistem aplikasi KITS, kita dapat melihat jumlah penumpang yang tinggi pada waktu pagi menuju ke Kuala Lumpur, manakala jumlah penumpang paling tinggi dari KL Sentral menuju kembali ke Pelabuhan Klang adalah pada waktu petang.

“Penjadualan berdasarkan data ini memastikan aset tren KTM boleh ditumpukan kepada waktu di mana terdapat jumlah penumpang yang tinggi manakala bas boleh memberi perkhidmatan pada waktu di mana jumlah penumpang adalah lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 22 unit bas perantara akan disediakan secara percuma bagi tempoh pelaksanaan projek KVDT2.

“Kekerapan setiap bas adalah 30 minit bergantung kepada keadaan trafik. Waktu ketibaan bas akan dipaparkan di stesen-stesen KTM berkenaan untuk memudahkan perjalanan penumpang.

“Bagi laluan dari stesen KTM Abdullah Hukum hingga Subang Jaya, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan bas sedia ada dan juga laluan LRT Kelana Jaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya