KPN nasihat 1,000 pesawah tangguh kunjungan ke Putrajaya

KPN nasihat 1,000 pesawah tangguh kunjungan ke Putrajaya

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan kumpulan 1,000 pesawah yang merancang untuk berhimpun di hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi ini supaya menangguhkan kunjungan mereka bagi memastikan kelancaran kawalan keselamatan sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai perhimpunan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi, serentak dengan kehadiran pemimpin negara jiran itu.

“PDRM menghormati hasrat para peserta kunjungan itu, namun kami (polis) menasihatkan agar mereka memilih tarikh dan waktu lain yang lebih sesuai demi penyelarasan keselamatan yang lebih sempurna.

“Lawatan Presiden Indonesia ke Malaysia adalah lawatan rasmi bertaraf tetamu negara yang memerlukan kawalan keselamatan dipertingkatkan.

“Oleh itu, kami tidak mahu mana-mana pihak berdepan kesulitan akibat prosedur keselamatan ketat yang perlu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa langkah ini selari dengan tanggungjawab PDRM di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Razarudin turut menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, Prabowo tiba di Malaysia dalam rangka lawatan rasmi sebagai Presiden Republik Indonesia.

Lawatan itu menyaksikan kawalan keselamatan di sekitar Putrajaya diperketatkan bagi memastikan kelancaran setiap atur cara melibatkan beliau dan kepimpinan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN