PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban dekat sini pagi tadi.
Beliau bersama beberapa pegawainya turut dihat mengawal aliran trafik serta membantu mangsa sehingga dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kejadian dipercayai berlaku pada 7.37 pagi ketika Razarudin dalam perjalanan dari kediamannya menuju Bukit Aman untuk menghadiri perhimpunan bulanan.
Kemalangan itu berlaku apabila penunggang motosikal berada di lorong kiri sebelum mengubah haluan ke lorong kanan.
Pada masa sama, sebuah kereta juga menukar haluan ke lorong kanan mengakibatkan mangsa tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian belakang sebuah kereta lain.
Razarudin dilihat keluar dari kenderaannya untuk membantu mangsa selain beberapa pegawainya mengawal aliran trafik. – UTUSAN