KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) digesa membuat pemantauan berterusan ke atas pegawai polis yang selesai menjalani tempoh hukuman tatatertib bagi memantapkan integriti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, ia bagi memastikan mereka ini tidak lagi melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan kredibiliti diri dan pasukan seluruhnya.
Menurutnya, isu integriti adalah perkara yang sentiasa dititikberatkan dan tidak ada tarikh luput untuk terus dipatuhi.
“Berhadapan dengan kemelut integriti yang mampu meruntuhkan keyakinan masyarakat kepada kewibawaan Pasukan ini, PDRM hanya dapat menadah telinga, tidak menimbang cela.
“Ini kerana segala tohmahan harus diterima dengan hati yang terbuka. Maka, pendekatan efisien yang dipraktikkan adalah dengan membuat penambahbaikan ke atas kelompongan yang wujud, bagi memastikan integriti warga Sang Saka Biru sentiasa berada pada tahap yang tertinggiseawal dari langkah pertama memasuki karier kepolisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Razarudin berkata, beliau menekankan supaya sama-sama meluruskan niat dan ingatlah bahawa kerja yang kita laksanakan ini adalah sebahagian daripada ibadah.
“Sesungguhnya kerja yang dianggap sebahagian daripada ibadah itu adalah kerja yang dilakukan dengan niat dan cara yang betul serta memberikan kebaikan kepada sesama manusia.
“Dalam majlis ini, kami ingin meraikan anggota dan pegawai yang berintegriti serta bagi menghargai pengorbanan mereka yang sanggup bergadai nyawa dalam membantu masyarakat,” katanya. – UTUSAN