PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelaras semula aspek pendidikan anak-anak GISB Holdings (GISBH) mengikut usia dan kesesuaian mereka dalam mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah KPM.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau dimaklumkan ada sebahagian daripada anak-anak itu telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dan bakinya terus kekal di rumah selamat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Di peringkat KPM, kita sedang menyelaraskan semula kerana ada anak-anak ini yang terus kekal di rumah selamat, yang mana kita akan selaraskan semula pendidikan mereka,” katanya dalam sidang akhbar Pengoperasian Peperiksaan SPM 2024 di sini, hari ini.
Sebelum ini, kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah-rumah amal GISBH sudah memulakan sesi pembelajaran secara formal di bawah KPM sejak 1 Oktober lalu selepas diselamatkan polis melalui Op Global.
Difahamkan, lebih 300 anak-anak yang ditempatkan di beberapa rumah perlindungan diberikan pendidikan formal mengikut modul-modul khas yang ditetapkan KPM seperti sebelum ini.
Bagi memastikan kesemua mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya, KPM merangka pelan jangka masa panjang bagi anak-anak itu bersama kementerian berkaitan selepas status mereka dimuktamadkan.
Malah KPM juga akan membuat penilaian kepada latar belakang pendidikan anak- anak tersebut sebelum menempatkan mereka ke institusi pendidikan di bawahnya untuk proses pemulihan. – UTUSAN